Tuesday, August 31, 2010

MINGGU 7: JURNAL REFLEKSI


Pada minggu 7 ini bermulanya sesi pembentangan. Dua kumpulan yang telah berjaya menyampaikan hasil kerja mereka dan saya amat berpuas hati dan teruja melihat hasil kerja mereka. Tajuk pembentangan kumpulan yang pertama adalah Keroncong, manakala kumpulan kedua adalah Kuda Kepang. Hasil daripada kedua-dua pembentangan tersebut, saya telah mendapat input yang berguna di mana sebelum ini kurang mengenali mengenai seni muzik kedua-dua muzik tersebut. Antara objektif yang ingin disampaikan dalam muzik keroncong adalah pelajar dapat mengenali istilah, sejarah keroncong, evolusi alat, alat muzik keroncong dan ciri-ciri khas muzik keroncong. Manakala bagi seni muzik kuda kepang adalah mengenai sejarah kuda kepang, alat-alat muzik, kostum, cara permainan, pantang larang dan kajian kes.


Dalam pembentangan pertama, kumpulan tersebut telah membentangkan mengenai keroncong. Dari segi sejarahnya seni muzik keroncong mula diperkenalkan ke Semenanjung Tanah Melayu pada akhir abad ke-19, apabila ramai pekerja buruh dari Indonesia terutama dari Pulau Jawa berhijrah ke Malaysia untuk mencari pekerjaan. Penduduk dari Jawa berhijrah ke Malaysia untuk mencari pekerjaan. Selain itu, peralatan ensembel keroncong merupakan gabungan alat-alat dari luar seperti ukulele, gitar, biola, flute, selo, gitar Hawaii serta bes. Namun terdapat juga ensembel ini digabungkan juga dengan alat-alat muzik tempatan seperti alat-alat gamelan, saron, bonang, kecapi, gendang, gong dan sebagainya. Kini ensembel keroncong lebih dipengaruhi oleh alat-alat yang dibawa dari luar dan muziknya pula tetap beridentitikan genre muzik Indonesia.



Manakala dalam pembentangan kumpulan kedua adalah berkenaan kuda kepang. Kuda Kepang adalah merupakan satu kesenian Jawa di negeri Johor yang sangat unik. Tarian ini menggunakan kuda kepang yang merupakan anyaman buluh diraut dan dibentuk menjadi sebuah patung kuda tanpa kaki. Antara alat muzik yang mengiringi tarian kuda kepang terdiri daripada angklung, gendang, gong, jidur, kenong, bonang dan saron kecil. Lagu kuda kepang dimainkan dalam pelbagai rentak perlahan yang menggambarkan kejinakan kuda ataupun irama rancak yang menggambarkan kuda sedang dipacu laju. Manakala pakaian penari adalah menggunakan pakaian tradisional Jawa kuno seperti lengkap memakai ketopang (tanjak), samping (anting-anting) dan badung. Seluar pula dijahit dengan kain kempun iaitu batik jawa.


Selain itu apa yang dapat menarik minat saya adalah tarian kuda kepang mengandungi unsur-unsur spiritual. Mereka yang menari akan mencuba mengejar muzik atau boleh dipanggil naik ‘syeh’. Terdapat pentang larang iaitu penonton juga tidak boleh mencaci sama ada percakapan ataupun dalam hati semasa melihat persembahan kuda kepang. Kalau dahulunya persembahan kuda kepang mesti dimulakan dengan sajian dan jampi serapah untuk mempelawa semangat animisme kuda kepang. Sajian dilengkapi dengan kemenyan, bunga (siantan, kenanga dan cempaka), telur, padi, kelapa muda, bedak muka dan jarum, malah air kelapa dan bubur turut disediakan. Namun kini amalan yang berunsur syirik dan pemujaan dalam kuda kepang tidak lagi diamalkan oleh penari-penari kuda kepang kerana ia telah diharamkan. Namun begitu ciri-ciri keaslian tarian kuda kepang masih dikekal dan dipelihara hingga kini.






0 comments:

Post a Comment

 

SMP2252 FIRDAUS Copyright © 2009 WoodMag is Designed by Ipietoon for Free Blogger Template