Monday, August 23, 2010

MINGGU 6: JURNAL REFLEKSI


Pada kuliah minggu ke 6 ini, pembelajaran adalah amat menarik kerana pelajar perlu memberikan perbezaan kepada beberapa video yang dipersembahkan yang berkaitan dengan Mak yung, Manora dan Mek Mulong. Pembelajaran minggu ini difokuskan dan telah diterangkan dengan lebih terperinci iaitu mengenai Mak yung dan kompang. Antara objektif yang ingin dicapai iaitu bagi muzik Mak yung ialah dari segi sejarah, persembahan dan alat muzik, dan muzik Mak yung. Manakala antara objektif mempelajari kompang pula ialah dari segi sejarah, alat muzik dan muzik kompang.


Mak yung merupakan satu kebudayaan seni tari tradisional yang masih lagi digemari oleh orang ramai dan kini Mak yung dipersembahkan dalam bentuk taridra untuk pertunjukan di peringkat antarabangsa. Pada masa dahulu, permainan ini dipersembahkan sebaik sahaja selepas orang-orang kampung selesai menuai padi di bendang. Drama tari Mak yung ini merupakan sebagai suatu bentuk drama-tari Melayu yang menggabungkan unsur-unsur ritual, lakonan dan tarian yang digayakan, muzik vokal dan instrumental, lagu, cerita dan teks percakapan yang formal dan bersahaja. Drama-tari ini dipertontonkan terutamanya di Terengganu, Patani, Kelantan, Kedah, serta di Kepulauan Riau-Indonesia.


Asal usul Mak yung dipercayai mengandungi unsur-unsur ketuhanan dan inspirasi. Suatu teori berpendapat dari segi etimologi istilah Mak yung berasal dari nama Mak Hiang iaitu nama semangat padi dan mempunyai persamaan dengan Dewi Seri, dewi Hindu-Jawa. Selain itu, Mak yung dianggap sebagai suatu pemujaan terhadap alam dan gejala alam, seperti yang terdapat dalam lirik Lagu Mengadap Rebab, lagu yang mengiringi tarian pembukaan dalam sebarang pertunjukan Mak yung. Di Kelantan, Mak yung dianggap mempunyai asal usul terus dari Nabi Adam, keturunan manusia yang mula-mula melalui berbagai dewa, semangat atau wira. Keyakinan ini amat kukuh di Kelantan. OIeh itu, menyebabkan genre ini ditafsirkan dalam istilah-istilah yang simbolik dan mistik dan seringkali dipetik dari pengajaran Sufi.



Kompang adalah merupakan permainan alat muzik tradisional masyarakat melayu. Kompang atau pun membranophone dimainkan oleh masyarakat melayu dalam majlis-majlis atau acara-acara tertentu. Kompang diperbuat daripada sekeping kulit (lembu atau kambing) yang dilekatkan menggunakan paku pada kayu yang telah dibentuk dalam bentuk bulat. Alat muzik ini berasal dari dunia Arab dan dipercayai dibawa masuk ke Tanah Melayu sama ada ketika zaman kesultanan Melayu oleh pedagang India Muslim atau Jawa melalui pada abad ke-13 oleh pedagang Arab. Permainan Kompang lazimnya dimainkan secara berkumpulan dalam keadaan bersila, berdiri atau pun berarak mengikut keperluannya. Dalam teknik penghasilan bunyi, pemain kompang akan menggunakan sebelah tangan untuk memegangnya dan menggunakan sebelah lagi tangan untuk memukulnya.



Selain dari Marhaban, peranan Kompang dalam kehidupan masyarakat masa kini, telah menjadi begitu penting khususnya untuk meraikan majlis perkahwinan atau menyambut pembesar-pembesar negara. Oleh itu, permainan Kompang telah mula diajar di sekolah-sekolah serta pusat-pusat pengajian tinggi dan institusi kerajaan. Dalam konteks persembahan kumpulan Kompang terdiri daripada tiga kumpulan mengikut peranannya. Kumpulan pertama terdiri daripada beberapa orang pemain yang akan bertindak sebagai "Pembolong" menggunakan istilah lokaliti untuk memainkan pola paluan yang khusus serta spesifik secara seragam iaitu "in unison" sebagai pukulan dasar. Kumpulan kedua pula bertindak sebagai Peningkah lazimnya terdiri daripada seorang sahaja ketua dalam permainan tersebut dan kumpulan ketiga akan bertindak sebagai penyilang yang memainkan rentak hias sebagai unsur pelengkap kepada keseluruhan pola paluan yang terjalin di dalamnya.


0 comments:

Post a Comment

 

SMP2252 FIRDAUS Copyright © 2009 WoodMag is Designed by Ipietoon for Free Blogger Template